Saturday, October 20, 2012

[Cont.....2]

Hari itu buat pertama kali dalam hidup ana naik ambulan untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah dengan keadaan terbaring atas katil. Nurse dan pemandu ambulan tolak katil ana masuk dalam ambulans, tak kena jalan. Macam orang yang sakit tenat.

Tiba di hospital, ana terus dimasukkan ke bilik untuk diperiksa. Terdapat beberapa orang pesakit lain dalam bilik tersebut dan beberapa orang doktor. Tak lama kemudian, seorang nurse menghampiri dan memeriksa tekanan darah ana dan seorang doktor lelaki turut datang. Macam di hospital Jeli, bermacam-macam soalan ditanya.

Kemudian, doktor perempuan pula datang dan ana di scan sekali lagi di sini. Dan ana perlu pemeriksaan lanjut dan sekali lagi alhamdulillah, doktor perempuan yang memeriksa. Alhamdulillah sekali lagi, katanya semuanya dah keluar dan ana perlu di scan untuk kali ke-3 oleh doktor yang lebih senior.

Lebih kurang 2 jam lebih menuggu, akhirnya doktor senior tersebut datang dan memperkenalkan diri sebagai Dr. Rohimi dan meminta kebenaran untuk scan perut ana. Selepas di scan, beliau mengesahkan semua dah keluar dan satu ayat yang diutarakan oleh beliau seolah-olah menyentap perasaan ana. Sedih!

" Complete miscarriage".

Pendek! Tetapi cukup menyakitkan.

Ana ditahan di wad untuk semalaman kerana keadaan ana perlu diawasi dan di pantau.

Ana disahkan keguguran setelah kandungan ana sudah mencecah 8 minggu.

[Cont...]

Pagi itu juga kami bertolak ke Hospital Jeli. Tiba di sana ana di arahkan masuk ke bahagian kecemasan. Zauj dan mak ana masih setia menemani di sisi. Nurse datang dan masukkan air ke dalam badan ana. Darah pula terasa makin banyak keluar. Alhamdulillah ana tidak ada tanda-tanda nak pengsan atau pitam.

Kemudian ana minta dengan nurse untuk ke tandas ekoran daripada terasa makin banyak darah yang keluar. Zauj menemani ana. Di tandas, ketulan darah ketiga keluar dari badan ana.

Kembali ke katil, ana terus diminta untuk baring. Seorang doktor lelaki menghampiri. Macam-macam soalan di utarakan. Perut ana di scan untuk memeriksa keadaan ana. Ana perlu diperiksa dengan lebih lanjut. Beliau memberi pilihan samada hendak dia sahaja yang memeriksa atau mahukan doktor perempuan. Sudah pasti ana memilih doktor perempuan. Nurse terus menghubungi doktor perempuan tersebut dan kami terpaksa menuggu.

Tak mengapa, ana sanggup menunggu daripada diperiksa oleh doktor lelaki. Kami ada pilihan dan ia bukan situasi yang kritikal dan terpaksa.

Seketika kemudian, doktor perempuan tiba dan ana diperiksa dan di scan sekali lagi.

Tak berapa lama kemudian doktor lelaki tadi datang lagi dan kami diberitahu ana terpaksa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.

Setelah lebih kurang 2 jam di Hospital Jeli, ana di hantar ke Hospital Tanah Merah dengan ambulan yang disediakan. Mak ana menemani. Ana tahu zauj ana ingin sentiasa berada di sisi, namun dia terpaksa pulang kerana perlu mengambil beberapa kelengkapan diri ana untuk ke hospital kerana ana mungkin terpaksa ditahan di wad.

Friday, October 19, 2012

Berakhirnya sebuah penantian.

16 Oktober 2012-

Lebih kurang jam 2.30 pagi ana tersedar dari tidur. Terasa sakit menyucuk-nyucuk dibahagian perut. Ana cuba melelapkan mata kembali, namun sakitnya makin terasa. Terniat nak kejutkan zauj tapi bila tengok zauj di sebelah begitu lena tak sampai hati. Ana teringat kata-kata doktor tempoh hari.

Katanya, kalau ada rasa sakit seperti senggugut, terus datang ke hospital.

Masalahnya ana tak pernah senggugut. Ana keliru, adakah sakit pada masa itu senggugut? Nak ke hospital malam-malam begini. Kalau bukan macam mana. Akhirnya ana menganggap sakit itu cuma angin dalam peut dan paksakan juga mata untuk sambung tidur.

Pada jam 5.30, ana tersedar buat kali kedua dari lena. Bila tersedar, terus terasa sakit menyucuk di bahagian     perut. Masa itu, ana terus ke tandas. Mungkin hanya sakit biasa. Setelah itu, ana sambung tidur kembali dengan harapan sakit ini akan hilang bila bangun nanti.

Ana tersedar kerana terasa tamparan perlahan di pipi dan goncangan lembut pada badan. Namun saat itu ana begitu tidak mampu untuk membuka mata.

Setelah itu terdengar suara zauj.

"Sayang, bangun. Solat subuh"

Ana cuba untuk buka mata.

"Dah subuh?". Tanya ana pada zauj.

Lantas ana cuba bangun dengan bantuan zauj. Bila ana berdiri, terasa sejuk dibahagian kaki.

"Allah! Darah!"

Terkejut ana dan zauj bila terlihat begitu banyak darah membasahi kain batik yang ana pakai dan katil. Ana berjalan perlahan ke bilik air. Bila sampai di bilik air, ana membersihkan darah yang terasa makin banyak mengalir dari tubuh ana.

Tiba-tiba..................

Terasa ada sesuatu keluar dari badan ana. Ketulan darah keluar dari badan ana. Terasa longlai saat itu. Terus ana memanggil zauj dan mak ana.

Mak kata, ana perlu ke hospital segera.