Thursday, September 20, 2012

Rindu

Jam menunjukkan 9.30 malam. Hujan baru sahaja mulai reda. Kehadiran hujan sebentar tadi benar-benar mampu merubah suasana. Malam semakin sejuk. Kipas tidak lagi diperlukan. Setiap orang seakan takut hendak menyentuh air. Ada juga yang lebih senang berehat di bilik. Walaupun kebiasaannya ia adalah waktu makan malam.

Perut mula berkeroncong. Tapi seakan tiada siapa berminat untuk menjamu selera. Ekoran kerana sentiasa makan berteman, ana melupakan niat untuk makan bila tiada yang sudi menemani. Lantas ana mengambil keputusan untuk minum sahaja. Selesai meneguk secawan air coklat, ana masuk ke kamar ibunda, kalau-kalau ada teman berbual. Masing-masing ada hal sendiri. Terlintas di hati, pulang ke rumah pun tiada apa yang boleh dilakukan. Bosan! Di asrama juga bosan! 

Suasana yang sunyi menguatkan lagi ingatan ana pada seseorang. Kalaulah 'dia' di sini, pasti ada yang sudi menemani. Waktu ini waktu makan si 'dia'. Kalau 'dia' ada di sini, pasti ana sedang sibuk menyediakan makan malam untuk nya pada waktu ini. Pasti ada yang menemani ana makan malam. Rindu!

Tiba-tiba telefon bimbit ana berdering.

Tertera nama 'zauji' di skrin. Subhanallah! Seakan mengetahui isi hati isterinya. 

Gembira menerima panggilan dari zauj tercinta. Namun, tidak dapat di tepis dan di halang air mata ini dari menitis saat mendengar suara itu. Butir bicaranya yang lembut dan mengambil berat itu semakin mencambahkan rindu pada nya. Perbualan singkat dengan si dia benar-benar membuatkan ana makin rindu.

Lantas ana melangkah laju ke kamar, membuka almari dan mencari-cari sesuatu miliknya. Lalu ana mencapai sehelai jubah  miliknya yang sering di pakai setiap Jumaat. Rindunya kepada pemilik jubah itu!

Indahnya rasa rindu pada seorang suami. Suami yang halal untuk di rindui. Semoga dengan rindu ini ada ganjaran buat si perindu. Rindu pada yang halal sudah pasti lebih indah berbanding kepada yang tidak halal. Yang bisa mengundang kemurkaan Pencipta rindu dan cinta. Pencipta si perindu dan segala-galanya.

Terima Kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan kepada hamba Mu ini..



Wednesday, September 19, 2012

Orang ke-3

Assalamualaikum.......

Alhamdulillah masih di beri peluang oleh Allah untuk meneruskan kehidupan di dunia yang sementara ini. Masih diberi nikmat mata untuk melihat, nikmat telinga untuk mendengar, nikmat mulut dan lidah untuk berbicara dan macam-macam nikmat lagi yang takkan habis untuk dinyatakan di sini. Semoga kita masih tidak lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah tanda syukur pada yang Esa.

Tidak ada yang menarik untuk dikongsi, cuma bila di baca tajuk entry ana kali ini tentang orang ke-3, tak tau la apa yang terlintas di fikiran. Mungkin memang fitrah bagi orang yang sudah berumah tangga menuggu kehadiran orang ke-3. Maksud ana, cahaya mata. Walaupun ana masih muda dan belajar, kadang-kadang keinginan tu ada.

Tapi, masih belum ada rezeki untuk ana dan zauj. Kadang-kadang terusik juga hati bila ada yang bertanya:

"Wa tak de isi lagi ke?"

"Tak ada apa-apa lagi ke?"

Itulah soalan yang sering bertandang. Tapi ana kena biasakan diri. Tak ada rezeki lagi. Apa boleh buat. Allah Maha Mengetahui hambaNya. Mungkin ana dan zauj belum bersedia lagi untuk menjadi umi dan abi. Dan banyak lagi kemungkinan yang lain. Yang penting, kenalah bersabar. =)


Tuesday, September 18, 2012

Kenangan.....

Assalamualaikum...

Kadang-kadang rasa macam tak sangka dah 7 bulan lebih bergelar isteri orang. Apatah lagi bila zauj tak ada di sisi. Berpisah sementara, supaya lebih manis saat berjumpa itulah kelebihan berjauhan ataupun hubungan jarak jauh ni. Yang penting kita saling mempercayai.

Bila berada dalam suasana universiti ni, seringkali teringat saat bujang dulu. Saat mengenali zauj. Rasa macam baru je kenal. Bila dengar je orang azan kat surau kat sini, macam terdengar-dengar pulak suara zauj azan kat surau masa kat pc dulu. hehe...

Semuanya kenangan manis. Kadang-kadang bila terkenangkan kenangan yang manis boleh membuatkan kita tersenyum. Dan sama juga bila terkenanag kan kenangan pahit, mampu buat kita menangis.

Ada kalanya terbayang-bayang saat mula-mula mengenali zauj tercinta. Tak sangka dia lah jodoh ana. Ana akan bertemu jodoh di UMK ni. Dulu masa dapat UMK nangis-nangis tak nak datang. Yela, dah berangan nak merantau masa belajar. Tiba-tiba dapat dekat kelantan jugak. Apatah lagi sekarang ni berada kat kampus jeli yang hanya 5 minit dari rumah. Kalau naik kereta atau bas la.. Rupanya ada sesuatu yang Allah nak hadiahkan kat ana yang ana akan jumpa kat UMK ni. Seorang suami yang mengubah seluruh hidup ana.

Tak sangka kan? 

Macam-macam yang berlaku dalam hidup kita yang kita tidak suka. Tetapi kita sering tidak sedar yang apa yang kita tidak suka itu tidak semestinya tidak baik untuk kita dan apa yang kita suka itu tidak semestinya baik untuk kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Dia Yang Maha Mengetahui apa yang hambanya perlukan. Subhanallah, sayangnya Allah untuk kita.