Thursday, September 20, 2012

Rindu

Jam menunjukkan 9.30 malam. Hujan baru sahaja mulai reda. Kehadiran hujan sebentar tadi benar-benar mampu merubah suasana. Malam semakin sejuk. Kipas tidak lagi diperlukan. Setiap orang seakan takut hendak menyentuh air. Ada juga yang lebih senang berehat di bilik. Walaupun kebiasaannya ia adalah waktu makan malam.

Perut mula berkeroncong. Tapi seakan tiada siapa berminat untuk menjamu selera. Ekoran kerana sentiasa makan berteman, ana melupakan niat untuk makan bila tiada yang sudi menemani. Lantas ana mengambil keputusan untuk minum sahaja. Selesai meneguk secawan air coklat, ana masuk ke kamar ibunda, kalau-kalau ada teman berbual. Masing-masing ada hal sendiri. Terlintas di hati, pulang ke rumah pun tiada apa yang boleh dilakukan. Bosan! Di asrama juga bosan! 

Suasana yang sunyi menguatkan lagi ingatan ana pada seseorang. Kalaulah 'dia' di sini, pasti ada yang sudi menemani. Waktu ini waktu makan si 'dia'. Kalau 'dia' ada di sini, pasti ana sedang sibuk menyediakan makan malam untuk nya pada waktu ini. Pasti ada yang menemani ana makan malam. Rindu!

Tiba-tiba telefon bimbit ana berdering.

Tertera nama 'zauji' di skrin. Subhanallah! Seakan mengetahui isi hati isterinya. 

Gembira menerima panggilan dari zauj tercinta. Namun, tidak dapat di tepis dan di halang air mata ini dari menitis saat mendengar suara itu. Butir bicaranya yang lembut dan mengambil berat itu semakin mencambahkan rindu pada nya. Perbualan singkat dengan si dia benar-benar membuatkan ana makin rindu.

Lantas ana melangkah laju ke kamar, membuka almari dan mencari-cari sesuatu miliknya. Lalu ana mencapai sehelai jubah  miliknya yang sering di pakai setiap Jumaat. Rindunya kepada pemilik jubah itu!

Indahnya rasa rindu pada seorang suami. Suami yang halal untuk di rindui. Semoga dengan rindu ini ada ganjaran buat si perindu. Rindu pada yang halal sudah pasti lebih indah berbanding kepada yang tidak halal. Yang bisa mengundang kemurkaan Pencipta rindu dan cinta. Pencipta si perindu dan segala-galanya.

Terima Kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan kepada hamba Mu ini..



No comments:

Post a Comment